Salam / Selamat Sejahtera!
Aku akan cuba sedaya-upaya untuk tulis semula mengenai ride solo aku ke Kota Bharu, Kelantan pada awal pagi 30/08/2023.
Dah berpuluh tahun aku tak jejak selepas aku berpindah dari Kelantan pada tahun 1995. Seminggu sebelum 30/08/2023 itu, tiba-tiba rasa rindu nak tengok tempat membesar. Aku lahir di Kuala Lumpur, cumanya menetap di Kota Bharu dari sekolah rendah, hinggalah ke tingkatan 2. Tapi kuat sangat kenangan membesar di sana. Kebanyakkan memori yang membentuk aku sekarang adalah dari sana.
Rancangan ke sana bermula dengan mencari spotlight yang dijangka dapat membantu aku dalam perjalanan melalui Batu Kurau – Air Terjun Lata Tebing Tinggi untuk tembus ke Sumpitan seterusnya Jalan Lenggong-Gerik. Cadangan utama aku ini ditolak oleh beberapa rakan kerana jalan ini terlampau berbahaya dengan kejadian tanah runtuh.
Oleh itu, aku terpaksa menggunakan laluan yang sedikit jauh. Guna highway dari susur keluar Kamunting, dan keluar di susur keluar Kuala Kangsar. Sepanjang laluan ini sangat gelap dan juga berbahaya. Setelah beberapa kali melalui laluan ini, bahaya yang sentiasa patut diberi perhatian adalah binatang liar melintas. Selalunya barbies.
Spotlight dah dapat dan hotel dah ditempah (tempahan hotel Tune Hotel secara online). Maka bermulalah ride pada awal pagi Rabu, 30/08/23 sekitar 2.30 pagi. Tak berapa meter dari rumah, hujan turun renyai-renyai. Nah, aku lupa tengok ramalan cuaca. Pisang.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, laluan Kuala Kangsar – Lenggong ini amatlah gelap dan laluannya lurus. Sepanjang laluan gelap ini, ada beberapa kenderaan yang cuba memastikan aku boleh mengikut kelajuan mereka untuk mereka membantu menyuluh jalan. Jadi sepanjang laluan Kuala-Kangsar – Lenggong ini, memang tak ada peluang untuk mencuba spotlight. Owh tidak, bukan sahaja sepanjang laluan Kuala Kangsar-Lenggong, kereta berselang-seli membantu hinggalah ke Gerik! Terima kasih orang baik.
Sejuk.
Stesen Petron (Bandariang) adalah stesen minyak terakhir sebelum aku akan mula mendaki bukit lebuhraya timur-barat. Sampai disini sekitar pukul 6.26 pagi. Ya, dalam 4 jam perjalanan memandangkan hujan dan kurang arif melalui laluan ini. Ini adalah kali pertama aku melakukan ride solo yang cukup gila ini.


Gambar di atas ini adalah bagaimana perbezaan kecerahan dengan/tanpa spotlight. Spotlight ini adalah dari jenama Motowolf, model MDL5002 yang berharga sekitar RM43 ketika dibeli. Kos ini tak termasuk pendawaian khas di motosikal. Aku tak beli wiring spotlight di Shopee disebabkan kurang percaya dengan jenis wayar yang digunakan. Sebaliknya, aku ke kedai rakan aku yang menjalankan perniagaan pendawaian audio kereta. Jadi wayar yang digunakan lebih berkualiti.

Inilah rupa spotlight yang dipasang disisi kiri motosikal. Pakai sebelah je dah cukup cerah.

Waktu ini dah hampir ke kawasan rehat Titiwangsa dah. Saja berhenti ambil gambar sebab kabus tebal. Dan boleh dilihat ketika ini usaha membaik pulih laluan ini sedang rancak. Jadi agak kurang jalan yang berlubang sepanjang laluan naik dari Gerik ke Hentian Titiwangsa.

Sekitar 7.30pagi, sampai di Hentian Titiwangsa. Tapi aku tak gemar berhenti disitu disebabkan ramai orang. Jadi aku pergi sedikit ke atas dan berhenti di bahu jalan. Pastikan anda berhenti di kawasan laluan lurus, bukan di selekoh. Aku berhenti disini untuk menukar visor (clear ke rainbow) dan menjamah bekal (sekeping coklat Snikers). Sempat menyampaikan laporan kepada Datin Paduka di rumah.
Aku teruskan perjalanan menuju ke Kota Bharu melalui Machang. Dan seperti dijangka, kereta sudah mula banyak di kawasan ini memandangkan orang ramai pulang bercuti. Ketika menghampiri Kota Bharu, keadaan trafik dah semakin sesak.
Aku sampai sekitar pukul 10.30 pagi. Penat tak terasa disebabkan teruja melihat semula apa yang pernah dilihat berpuluh tahun yang lalu. Kenangan ketika membesar tak berhenti-henti bermain dalam kepala.

Rumah orang tua yang mengajar aku mengaji yang aku panggil sebagai Wan. Teringat bagaimana aku berlari-lari datang mengaji sebab nak balik cepat tengok cerita Knight Rider.

Kedai roti inilah yang parent aku selalu beli roti untuk sarapan pagi.

Haa bawah pokok inilah pakcik beca yang hantar aku ke sekolah akan menunggu aku. Dia tak pernah panggil nama aku bila dia sampai. Dia akan berdehem-dehem sahaja. Nah ketika orang mungkin berpengalaman ke sekolah dengan bas, aku berpengelaman ke sekolah menaiki beca. Kat sana orang panggil beca ni teksi…. Ya, itu pokok yang sama ketika aku kecil dulu.

Selepas dari meninjau tempat-tempat membesar, aku kurang ambil gambar. Menikmati setiap saat, minit dan jam melepaskan rindu. Nak dijadikan cerita, aku berpeluang berjumpa abang kepada rakan baik aku. Lagilah aku hanyut dengan cerita dulu. Tambahan lagi dia ligat membawa aku makan di sana sini. Persetankan diet. Semua makanan SEDAP!
Dalam cerita-cerita ini, aku lambat tahu tentang kawan baik aku punya cerita. Kami terputus hubungan bila di sambung belajar diluar negara. Telefon bimbit pada waktu itu pun dikira barang mewah. Internet pun sama. Pada tahun 2018, aku dapat khabar dari parent yang dia dah meninggal. Itupun sebenarnya dia dah meninggal pada tahun 2008. : Berita (Klik untuk baca)

Pasar Siti Khadijah. Jauh beza sangat dah dari dulu. Dulu kalau tak salah, tengah2 ni tempat jual barang basah. Sekarang, kedai emas melambak.

Owh ya, seperti yang aku bagitahu, bila dah berjumpa dengan abang kepada rakan baik aku, tak banyak gambar yang aku snap. Inilah Tune Hotel yang aku menginap. Depan dia ada supermarket. Dan tak jauh dari bandar Kota Bharu. Gambar ini pun aku snap selepas dah check out. Sekitar pukul 2.30 pagi, 1/09/2023.
Selama berkeliaran tanpa hala tuju bersama abang rakan, aku naik kereta dia. Tu sebab tak banyak gambar personal. Jadi aku check out 2.30 pagi ni sebab nak ambil gambar sekitar bandar. Maklumlah waktu siang hari, kereta banyak!


Aku waktu kecik dulu suka tengok round about ni. Sebab round about adalah laluan menuju ke bandar. Biasanya kami sekeluarga akan ke pasaraya Hankyu Jaya atau mana-mana tempat riadah / berkait shopping. Puas bergambar sebab semua orang tak ada. Penat menyambut hari kemerdekaan pada malam sebelumnya.

Nah magic. Tetiba aku dah sampai ke kaki bukit berhampiran stesen minyak Petron Bandariang. Jam pada ketika ini adalah 6.57pagi. Macam mana aku tiba-tiba disini. Seperti sebelumnya, ketika aku sedang bergambar di bandar Kota Bharu, hujan renyai-renyai mula turun. Jadi aku terus mulakan perjalanan balik.
Entah macam mana, aku tersilap balik melalui Rantau Panjang. Jalan tersangatlah gelap, kanan kiri jalan hanyalah kebun-kebun / ladang-ladang. Pada satu ketika, mujur aku cukup peka dari terempuh sekumpulan lembu yang sedang melintas jalan. Lembu ni bukan jenis patah balik. Bila dia takut, lagi dia lari ke depan. Maka kenalah tunggu lembu habis melintas. Perjalanan yang gelap ini hinggalah ke Jeli.
Kebetulan ada beberapa penunggang Vespa ketika hampir di Jeli. Rasanya ada perhimpunan Vespa ketika itu. Mereka ini mungkin dalam perjalanan ke sana. Cumanya ketika aku berhenti mengisi minyak di Petron Batu Melintang, Jeli, penunggang-penunggang Vespa ini berhenti berehat di situ. Jadi aku teruskan lah perjalanan mendaki bukit lebuhraya timur barat berseorangan sekali lagi. Kali ini amat mencabar disebabkan keadaan jalan sangat teruk. Lubang yang ada di atas jalan ada kalanya sangat dalam. Dan ada yang masih berpasir tidak ditar kerana dalam proses dibaik pulih. Kawasan-kawasan ini aku cuba hafal ketika perjalanan pergi.
Perjalanan aku ditengah2 hutan, diatas bukit ditemani sebuah kenderaan yang kebarangkalian pemandunya mengantuk. Memandu terhuyung-hayang, tapi masih cukup laju untuk aku menumpang cahaya lampunya. Memandangkan aku di atas bukit seawal 4-5pagi, sejuk itu adalah biasa. Cumanya baru aku berpeluang terhidu bau-bauan hutan. Ya, hutan ini ada baunya ya.
Selepas kenderaan yang terhoyong-hayang itu berhenti di Hentian Titiwangsa, aku teruskan perjalanan turun. Akhirnya pukul 7 pagi aku sampai di kaki bukit. Gelap dan perlukan tumpuan yang penuh. Apa gila nak berhenti snap gambar gelap-gelap macam ini? Itu sebabnya bila dah sampai kaki bukit baru boleh ambil gambar.
Selepas rehat di Petron Bandariang, aku teruskan perjalanan pulang ke Kamunting melalui Sumpitan – Batu Kurau yang lebih dekat untuk pulang. Waktu ni lalu air terjun pun dah tak snap gambar. Dah rabak sangat. Akhirnya selamat sampai rumah sekitar pukul 9 pagi. Alhamdulillah.

Inilah air terjun lata tebing tinggi. Ini laluan belakang dari Baru Kurau untuk ke Lenggong-Gerik. Tembus di Kampung Sumpitan. Ini gambar lama semata-mata nak tunjukkan bagaimana cantiknya kawasan ini di hari yang cerah. Ketika malam, bukan rakan sahaja yang tak bagi lalu. Ramai juga cerita-cerita di internet yang tidak menggalakkan orang melalui kawasan ini di waktu malam. Kiranya berkait dengan cerita misteri jalan lama Sumpitan-Lenggong, yakni kisah pembunuhan seorang kerabat diraja disini. Katanya di jambatan ini lah. Selain dari kisah misteri, ada yang nampak harimau di laluan bukit ini. Boleh try google map kawasan ini. Boleh cuba ambil feel macam mana rasanya melalui laluan ini.

Cerita bonus. Aku pernah ke sini berkayuh secara solo. Bertolak dari Kamunting sekitar 6.30pagi. Macam inilah life orang introvert. Selagi mana boleh buat solo, aku cuba. Nak sampai sini, jenuh berperang dengan diri. Alhamdulillah selamat pergi dan balik.