avenis-ego4

Suzuki Avenis 125

Salam / Selamat Sejahtera!

Rasanya tak perlu aku ulas lagi tentang motosikal terbaru dari Suzuki Malaysia iaitu skuter Suzuki Avenis 125 dan Suzuki Burgman 125. Aku serahkan kepada yang lebih pakar mengenai aspek teknikal disebabkan aku hanya pengguna biasa, yang hanya tahu tunggang dan isi minyak sahaja. Asalkan bila pulas, moto bergerak.

Tahniah kepada Suzuki Malaysia kerana berani membawa masuk model baharu ini ketika kuasa membeli pengguna ketika ini sangatlah rendah. Tahun ini, seperti yang anda semua tahu, sektor kerajaan dan swasta, tak semua diluluskan bonus. Seorang kawan aku yang memiliki kedai aksesori motosikal hairan tentang kurangnya pelanggan yang berbelanja sempena raya seperti tahun-tahun sebelum ini.

 

Mengenai kuasa membeli ini juga, elok aku ketepikan. Biarlah yang pakai ulas lebih lanjut mengenai perkara ini. Yang betul-betul menarik perhatian aku adalah komen orang ramai mengenai reka bentuk Suzuki Avenis 125. Skuter yang dikatakan ‘happy go lucky’ disebabkan sentiasa kelihatan tersenyum.

 

Sekali anda terlihat foto ini, setiap kali anda memandang skuter Suzuki Avenis 125, anda akan terbayangkan watak Star Wars ini.

 

Dan seperti watak Star Wars ini juga, mempunyai teori sisi ‘hitam’nya yang tersendiri. Oleh itu, aku juga akan menanti, mana-mana wira yang mampu menukarkan reka-bentuk Suzuki Avenis 125, kepada sisi ‘gelap’nya bersesuaian dengan imejnya yang garang dan lincah.

 

Ini contoh sisi ‘gelap’ yang dibayangkan oleh kami. Lampu sisi seeloknya digabungkan di bahagian kanan dan kiri coverset seperti Suzuki Burgman 125. Lampu jenis reflektor biasa yang menguatkan ilusi seperti gigi digantikan dengan lampu seperti yang digunakan di Suzuki GSX-8S. Cover handle tu kami gunakan dari model Yamaha Ego untuk membuang imej lampu signal yang kelihatan seperti sepasang mata. Tayar pula dilebarkan sedikit untuk memberi imej lebih stabil.

Aku percaya nanti akan ada mereka-mereka yang lebih kreatif mampu menyerlahkan imej Suzuki Avenis ini. Sayang sangat jika skuter yang berpotensi tinggi ini di pandang sebelah mata hanya kerana rekabentuknya. Sedangkan setiap review model ini di jalanan amat memberansangkan!